KUIN secara rasmi dikenali UniSHAMS

PUTRAJAYA: - Kolej Universiti INSANIAH (KUIN) Kedah hari ini bertukar status secara rasmi sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (UniSHAMS) selepas menerima Perakuan Pendaftaran daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Perakuan Pendaftaran itu diserahkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir kepada Rektor UniSHAMS Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti pada satu majlis di sini, semalam.

Ia turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UniSHAMS; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain merangkap Ahli Lembaga Pengarah UniSHAMS dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Dalam pada itu, Idris berkata, antara syarat penukaran status sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) kepada universiti penuh iaitu mencukupi dari segi bilangan pensyarah berkelulusan doktor falsafah (PhD), mempunyai modal berbayar RM20 juta, program ditawarkan mendapat akreditasi selain menjalankan kajian pendidikan.

"Justeru, perkara ini bukan suatu yang mudah, malah ada IPT memohon untuk mendapat status universiti penuh tetapi tidak berjaya kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan kementerian ini.

"Kementerian Pendidikan Tinggi tidak akan berkompromi dan walaupun kita mesra dengan mereka, kita mesti memastikan syarat dipenuhi oleh pihak IPT yang berkenaan dalam menjadikan sistem pendidikan negara terus berkualiti," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Perakuan Pendaftaran UniSHAMS di sini.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, majlis berkenaan disifatkan suatu berita baik untuk rakyat Kedah selepas penantian selama 25 tahun penubuhan UniSHAMS yang dahulunya dikenali sebagai KUIN ditubuhkan sejak 1994.

Menurutnya, selama tempoh itu, kerajaan negeri merancang begitu awal untuk menjadikan KUIN sebagai sebuah universiti penuh di kawasan utara tanah air.

"Kita bersetuju di bawah Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, baginda turut berkenan untuk menamakan KUIN sebagai UniSHAMS dan akhirnya, impian itu terlaksana pada hari ini.

"Segala syarat ditetapkan oleh kementerian berjaya dipenuhi dan kelulusan itu adalah merit yang kita dapat daripada apa yang kita sediakan sepanjang pengalaman 25 tahun ini," katanya.

UniSHAMS adalah sebuah IPTS milik kerajaan negeri Kedah yang menawarkan 44 kursus pengajian dengan jumlah terkini, terdapat seramai 3,895 penuntut.

Proses mendapatkan pengiktirafan itu bermula pada 17 Disember 2015 dan pada 22 Ogos tahun lalu, KUIN menerima surat kelulusan penubuhan IPTS sebagai universiti berserta beberapa syarat perlu dipenuhi sebelum kelulusan pendaftaran sebagai UniSHAMS.

Sumber : Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

UniSHAMS

Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah
09300 Kuala Ketil
Kedah Darul Aman, Malaysia
+6 04 415 5000 Fax 04 415 5050
admin@unishams.edu.my
aduan@unishams.edu.my
logo_setara logo_mqa